|
AKTA PENDIDIKAN 1996
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA & GURU) 1998
[Sub peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)
SEKOLAH :
.................................................................................
Nama dan Alamat
1.
Persatuan ini dikenal dengan nama:
.......................................................................................................................
2.
Alamat yang didaftarkan bagi Persatuan
ini ialah:
.......................................................................................................................
.......................................................................................................................
Tujuan-tujuan Persatuan
3.
Tujuan-tujuan Persatuan ialah:
a) untuk mengadakan sesuatu forum
dan perkhidmatan bagi kebajikan dan
kemajuan murid-murid dalam Sekolah
dalam meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah usaha
Sekolah dalam memenuhi kehendak dan
keperluan kebendaan murid-murid
dalam kegiatan mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa dan
guru dalam Sekolah bertukar-tukar
fikiran dan maklumat mengenai
pendidikan;
d) untuk memberi peluang kepada ibu
bapa dan guru dalam sekolah
berunding antara satu sama lain
dengan cara memperbaiki taraf
pendidikan anak-anak mereka pada
amnya; dan
e) untuk membolehkan ibu bapa dan
guru dalam Sekolah untuk berusaha
menambah kewangan Sekolah dan
meningkatkan kemudahan fizikal bagi
tujuan meningkatkan kemudahan
pengajaran dan pembelajaran
Fungsi Persatuan
4.
Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan
aktiviti atau program bagi mencapai
tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan
di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan
perkembangan murid dan menjaga
kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan Sekolah
bagi menambah dan meningkatkan
kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan
menyediakan saluran komunikasi dan
hubungan antara Sekolah dengan
masyarakat setempat;
d) meningkatkan kecerian premis
Sekolah supya dapat mewujudkan
suasana yang kondusif bagi
menjayakan aktiviti dan program
pendidikan
Keanggotaan Persatuan
5.
Anggota Persatuan terdiri daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang
belajar dalam Sekolah; dan
c) warganegara Malaysia yang
diluluskan permohonan untuk menjadi
anggota Persatuan oleh Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai
Pendidikan Bahagian atau Pendaftar,
mengikut mana yang berkenaan
(seperti di Lampiran A); dan
6.
Guru Besar atau Pengetua Sekolah
hendaklah menjadi ex-officio dan
Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa Persatuan
7.
Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu
jawatankuasa yang dikenali sebagai
"Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG
hendaklah dilantik oleh anggota
Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung
Tahunan.
8.
Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah
terdiri daripada warganegara Malaysia
sahaja.
9.
Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah
seperti berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) ........................... orang
Ahli Jawatankuasa
10. Bilangan ibu bapa dan guru yang
menganggotai Jawatankuasa PIBG
hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.
11. Guru Besar atau Pengetua tidak boleh
menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya
bertindak sebagai Penasihat Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di
perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga
11 orang.
13. Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG
di kalangan anggota Persatuan (bukan
anggota guru di sekolah tersebut) yang
tidak mempunyai anak di sekolah itu
hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada
keseluruhan bilangan anggota
Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk kepada perenggan 13
Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4)
hingga (6) Peraturan-Peraturan
Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru)
1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau
Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut
mana yang berkenaan) boleh melantik
tidak lebih daripada 2 orang yang bukan
anggota Persatuan untuk menjadi anggota
Jawatankuasa PIBG setelah mendapat
kelulusan bertulis Pendaftar.
15. Tempoh memegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari
tarikh pelantikan sehingga tarikh
Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun
berikutnya atau sehingga suatu tempoh
yang diluluskan oleh pendaftar.
16. Jika berlaku kekosongan jawatan
dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua
hendaklah melantik mana-mana anggota
biasa Persatuan, berdasarkan undian
terbanyak di kalangan anggota
Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi
kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa PIBG hendaklah
mengedarkan kepada anggota Persatuan
senarai nama dan alamat pemegang jawatan
dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap
tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas
tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah
mengelola dan mengatur kegiatan
Persatuan dan membuat keputusan atas
perkara-perkara yang menyentuh
perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah
dengan dasar umum yang ditetapkan oleh
Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan
ini dan Akta Pendidikan 1996 serta
peraturan-peraturan yang dibuat di
bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi Pengerusi dalam semua
mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan
Mesyuarat Agung Tahunan dan
bertanggungjawab atas
kesempurnaan perjalanan
mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan
hendaklah menandatangani
minit-minit mesyuarat apabila
telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab mengawasi
pentadbiran Persatuan serta
memastikan bahawa peruntukan
Perlembagaan dipatuhi oleh semua
anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala
peruntukan Perlembagaan dalam
menjalankan tugas sebagai Yang
Di-Pertua.
v) Boleh memanggil mesyuarat
Jawatankuasa PIBG pada bila-bila
masa yang difikirkan perlu
dengan persetujuan Guru Besar
atau Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau
penyata pengeluaran wang
Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti
dan program Persatuan
dilaksanakan dengan sempurna dan
teratur.
viii) Mendapatkan nasihat
mengenai pengurusan Persatuan
dari semasa ke semasa daripada
Guru Besar atau Pengetua selaku
Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu
Yang Di-Pertua dalam menjalankan
fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab
dan fungsi Yang Di-Pertua semasa
ketiadaan Yang Di-Pertua .
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan
mengikut Perlembagaan Persatuan.
ii) Melaksanakan
keputusan-keputusan Mesyuarat
Agung Tahunan dan mesyuarat
Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan
menyimpan minit-minit mesyuarat
Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat
Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan
untuk dibentangkan kepada
Mesyuarat Agung Tahunan serta
minit-minit yang bersangkutan
dengannya.
v) Menghantar segala laporan dan
aktiviti Persatuan dan minit
Mesyuarat Agung Tahunan kepada
Pendaftar atau Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai
Pendidikan Bahagian, mengikut
mana yang berkenaan, selepas
Mesyuarat Agung Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau
penyata pengeluaran wang
Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab mengurus dan
mengawal hal ehwal kewangan
Persatuan dengan menyediakan dan
menyimpan kira- kira kewangan
yang kemas kini. Penyata
kira-kira kewangan (1 Januari
hingga 31 Disember) hendaklah
disiapkan sebelum 1 Februari
tahun berikutnya untuk diaudit.
Penyata kira-kira yang telah
diaudit hendaklah dikemukakan
untuk kelulusan Mesyuarat Agung
Tahunan. Satu salinan penyata
yang telah diaudit dan
diluluskan oleh Mesyuarat Agung
Tahunan hendaklah dihantar
kepada Pendaftar selepas
Mesyuarat berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan
wang Persatuan seperti yang
diputuskan oleh Mesyuarat Agung
Tahunan atau mesyuarat
Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak
melebihi sesuatu jumlah yang
ditetapkan dalam Perlembagaan
pada sesuatu masa.
iv) Menerima bagi pihak
Persatuan semua derma atau
sumbangan daripada mana-mana
anggota atau lain-lain sumber
dan mengeluarkan resit akaun
terima dan kreditkan ke dalam
akaun Persatuan pada hari yang
sama.
v) Menandatangani cek atau
penyata pengeluaran wang
Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku
terlebih pengeluaran wang dari
akaun Persatuan dan akaun
sentiasa berbaki kredit.
Lain-lain jawatan
19. Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah
adalah anggota ex-officio
Persatuan dan bertindak sebagai
penasihat kepada Jawatankuasa PIBG
dan Persatuan. Antara tanggungjawab
dan fungsi Guru Besar atau Pengetua
adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat
Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat
Agung Tahunan dan Mesyuarat
Agung Tergempar, tetapi tidak
boleh mengundi;
ii) mewakili pihak Jabatan
Pendidikan Negeri dan
Kementerian Pendidikan Malaysia
bagi mengawal dan menasihati
Persatuan supaya segala
aktiviti, kegiatan dan keputusan
yang dibuat dalam
mesyuarat-mesyuarat Persatuan
tidak bercanggah dengan
kepentingan perkhidmatan,
dasar-dasar negara dan
dasar-dasar mengenai pelajaran
dan pendidikan serta hal-hal
berkaitan dengan pentadbiran
sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan
menangguhkan mesyuarat Persatuan
jika difikirkan wajar untuk
kepentingan anggota Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda
mesyuarat dan perkara yang akan
dibincangkan dalam mesyuarat
Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;
v) memberi penjelasan kepada
sesuatu isu mengenai pengurusan
dan perjalanan Sekolah dan
akademik serta isu-isu yang
berkaitan dengannya dalam
mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan
persatuan selaras dengan tujuan
dan fungsi Persatuan;
vii) memastikan sumbangan
Persatuan yang diputuskan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan tidak
membebankan dan tidak
mengandungi sebarang unsur
paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat
dan para jemputan yang
menghadiri majlis anjuran
Persatuan dilayan mengikut
peraturan dan protokol yang
ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan hendaklah melantik
2 orang juru audit dalaman dari
kalangan anggota Persatuan yang
tidak menjadi anggota
Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat
Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit
dalaman adalah seperti berikut:
aa) mengaudit akaun
Persatuan pada setiap akhir
tahun kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan
secara berkala seperti mana
yang diputuskan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
Tempat bermesyuarat (jika berlainan dari
alamat berdaftar)
20. Mesyuarat Persatuan dan Mesyuarat
Agung Tahunan diadakan di
..............................................................................................................
Kuorum
21. Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh
Persatuan adalah seperti berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah
tidak kurang daripada 3 kali jumlah
bilangan anggota Jawatankuasa PIBG;
dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG -
hendaklah tidak kurang 2/3 daripada
jumlah bilangan anggota Jawatankuasa
PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
22. Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah
pada setiap tahun sebelum akhir bulan
Mac.
23. Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak
diadakan sebelum akhir bulan Mac,
Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan
alasan dan tarikh yang dicadangkan
kepada Pendaftar, melalui Guru Besar
atau Pengetua, sebelum 31 Mac.
24. Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan
diadakan hendaklah diberikan kepada
anggota Persatuan selewat-lewatnya 14
hari sebelum tarikh Mesyuarat.
25. Sekiranya kuorum untuk mengadakan
Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi
dalam tempoh 1 jam dari masa yang
ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah
dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG
hendaklah mengeluarkan notis bertulis
kepada anggota Persatuan memaklumkan
tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan
dalam masa 30 hari dari tarikh asal
tersebut.
26. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan
hendaklah mengandungi perkara-perkara
berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit
Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;
c) membentang dan menerima Laporan
Tahunan;
d) membentang, menerima dan
meluluskan Penyata Kewangan berakhir
31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi
tahun berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
27. Apa-apa usul bertulis hendaklah
disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG
selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh
Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk
menapis usul-usul yang dikemukakan
sebelum diluluskan untuk perbincangan
dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
28. Mesyuarat Agung Tahunan
bertanggungjawab memilih
pemegang-pemegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG serta menimbang
lain-lain perkara yang menyentuh
kemajuan dan kebajikan Persatuan.
Pemilihan pemegang jawatan hendaklah
dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk
memegang jawatan dalam Jawatankuasa
PIBG hendaklah hadir dalam
Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah
mempunyai pencadang dan penyokong;
dan
c) pemilihan hendaklah dijalankan
secara undian bagi jawatan yang
ditandingi. Calon yang mendapat undi
terbanyak dipilih menjawat jawatan
yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
29. Mesyuarat Agung Tergempar boleh
diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh
Jawatankuasa PIBG;
b) atas permintaan bertulis
sekurang-kurangnya 1/5 daripada
jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
30. Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah
diadakan dalam tempoh 21 hari daripada
tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau
tarikh penerimaan permintaan anggota
Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar,
mengikut mana yang berkenaan. Notis
bertulis mengenai Mesyuarat Agung
Tergempar hendaklah dikemukakan kepada
anggota Persatuan selewat-lewatnya 7
hari dari tarikh Mesyuarat hendak
diadakan.
31. Urusan Mesyuarat Agung Tergempar
hendaklah dihadkan kepada tujuan
Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
32. Laporan Mesyuarat Agung Tahunan
bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan
Persatuan hendaklah dihantar kepada
Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan
Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan
Bahagian, mengikut mana yang berkenaan,
dalam tempoh 30 hari selepas tarikh
Mesyuarat.
33. Laporan Mesyuarat Agung Tergempar
hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan
Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai
Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut
mana yang berkenaan, dalam tempoh 30
hari selepas tarikh Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
34. Jawatankuasa PIBG hendaklah
bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali
dalam tempoh satu tahun persekolahan.
35. Notis panggilan mesyuarat hendaklah
diberikan kepada anggota Jawatankuasa
PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum
tarikh Mesyuarat.
36. Yang Di-Pertua, atau
sekurang-kurangnya 3 orang anggota
Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil
mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila
difikirkan perlu dengan persetujuan
Penasihat.
37. Setiap anggota Jawatankuasa PIBG
yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2
kali tanpa sebab hendaklah digugurkan
keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG
secara automatik dan Yang Di-Pertua
hendaklah mengemukakan notis bertulis
kepada anggota berkenaan sebaik sahaja
keputusan itu dibuat.
Punca-Punca Pendapatan Persatuan
38. Punca-punca pendapatan Persatuan
adalah terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan
(anggota Persatuan tidak boleh
dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada
individu, organisasi dan badan-badan
lain;
c) pendapatan yang diperolehi
daripada aktiviti dan program
unjuran Persatuan yang telah
mendapat kelulusan Pendaftar
39. Jawatankuasa hendaklah membuka satu
akaun di mana-mana bank tempatan yang
berdaftar atas nama Persatuan.
40. Apa-apa wang yang diterima atau
diperolehi oleh Persatuan hendaklah
dikreditkan ke dalam akaun Persatuan
pada hari wang diterima atau
diperolehi. Walau apa pun peruntukan
ini, Bendahari boleh menyimpan wang
tunai yang tidak melebihi
................................................................................................
pada satu-satu masa.
Perbelanjaan wang Persatuan
41. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk
membelanjakan wang Persatuan bagi
perkara-perkara yang mendatangkan faedah
kepada murid-murid Sekolah yang tidak
bercanggah dengan tujuan-tujuan
Persatuan.
42. Segala cek atau kenyataan
pengeluaran wang daripada akaun
Persatuan hendaklah ditandatangan oleh
Bendahari dan Yang Di-Pertua atau
Setiausaha, semasa ketiadaan Yang
Di-Pertua.
43. Bendahari dan Yang Di-Pertua
hendaklah memastikan tiada berlaku
terlebih pengeluaran wang dan akaun
Persatuan sentiasa berbaki kredit.
44. Tahun kewangan Persatuan bermula
pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun
semasa.
Penyimpanan akaun pendapatan dan
perbelanjaan
45. Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan
yang telah diaudit hendaklah
dibentangkan untuk diterima dan
diluluskan oleh anggota Persatuan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
46. Satu salinan Penyata Kira-kira
Kewangan yang telah diaudit serta
diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat
Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada
Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah
atau Pegawai Pendidikan Bahagian
mengikut mana-mana yang berkenaan.
47. Pendaftar, Pegawai Pendidikan
Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian,
Pengetua atau Guru Besar adalah
dibenarkan memeriksa akaun Persatuan
pada bila-bila masa.
Harta Amanah Persatuan
48. Persatuan tidak boleh memegang
apa-apa harta, sama ada harta alih atau
harta tak alih, atas namanya sendiri.
Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh
Perlembagaan ini berkuat kuasa,
diletakkan atas nama Persatuan hendaklah
dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang
diwakili oleh Sekolah, sebagai harta
yang diamanahkan oleh Persatuan untuk
digunakan bagi faedah murid-murid
Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang
ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari
masa ke semasa.
49. Apa-apa harta yang diamanahkan
kepada Sekolah tidak boleh dipindah
milik atau dilupuskan dengan apa cara
sekali pun, melainkan dengan persetujuan
anggota Persatuan yang diperolehi dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan Persatuan
50. Apa-apa cadangan untuk meminda
Perlembagaan Persatuan hendaklah
dikemukakan kepada Pendaftar, melalui
Guru Besar atau Pengetua, untuk
kelulusan terlebih dahulu.
51. Cadangan pindaan yang hendak
dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah
dibentangkan dalam Mesyuarat Agung
Tahunan dan dipersetujui oleh
sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota
Persatuan yang hadir.
52. Pindaan kepada Perlembagaan hanya
berkuat kuasa mulai daripada pindaan
diluluskan oleh Pendaftar.
53. Pendaftar berhak meluluskan atau
tidak sebarang pindaan yang dicadangkan
oleh Persatuan.
Larangan
54. Persatuan tidak boleh memperluaskan
bidang kuasanya untuk merangkumi
perkara-perkara yang berkaitan dengan
pentadbiran dan pengurusan sekolah,
guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan
syarat-syarat perkhidmatan guru dan
kakitangan Sekolah.
55. Persatuan bukanlah suatu entiti
undang-undang dan tidak mempunyai
keupayaan juridikal untuk membuat
kontrak, perjanjian atau memorandum
persefahaman, atas namanya sendiri.
Apa-apa program dan aktiviti yang hendak
dibuat oleh Persatuan yang memerlukan
apa-apa suratcara yang mengikat dari
segi undang-undang hendaklah dirujuk
kepada Pendaftar, melalui Guru Besar
atau Pengetua, untuk kelulusan dan
panduan.
56. Persatuan tidak boleh menjadi forum
atau jentera bagi menyelesaikan sebarang
pertikaian antara Persatuan dengan Guru
Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan
Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian,
Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian
Pendidikan, Kerajaan Negeri atau
Kerajaan Persekutuan.
57. Persatuan tidak boleh bergabung
dengan persatuan ibu bapa-guru di
sekolah- sekolah lain, parti politik,
kesatuan sekerja, pertubuhan bukan
kerajaan atau lain-lain organisasi,
pertubuhan atau persatuan, sama ada yang
ditubuhkan atau berdaftar di bawah
mana-mana undang-undang bertulis atau
tidak.
Tafsiran
58. Sebarang kekeliruan atau pertikaian
yang timbul daripada Perlembagaan ini
hendaklah dirujuk kepada Pendaftar
melalui Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
59. Persatuan hanya boleh dibubarkan
dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada
Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
60. Apa-apa wang dalam akaun Persatuan
hendaklah digunakan sebagaimana yang
ditetapkan oleh Pendaftar dan
kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan
pendidikan kanak-kanak di kawasan di
mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta
alih dan tak alih yang telah diamanahkan
kepada Sekolah hendaklah dilupuskan
mengikut cara yang ditetapkan oleh
Pendaftar.
61. Guru Besar atau Pengetua hendaklah
memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan
kepada Pendaftar apabila Persatuan
dibubarkan.
Perlembagaan Sekolah:
.............................................................................
Alamat Sekolah:
.............................................................................
Tandatangan Guru Besar / Pengetua:
.............................................................................
Nama Guru Besar / Pengetua:
.............................................................................
Tarikh:
.............................................................................
___________________________________________________________________
Diluluskan oleh:
Pendaftar Sekolah dan Guru
Cop:
Tandatangan:
Nama:
Tarikh:
................................... |